Petikan daripada BLOG Ustaz Pahrol(www.genta-rasa.com)
Hayatilah.....sungguh menginsafkan...Ya Allah ampunilah kami....
Takah Hidup Insan
Kembara manusia bermula dari alam roh. Di sana manusia tidak mempunyai jasad. Tidak ada jantina, lelaki ataupun perempuan. Bagaimana keadaan kita pada waktu itu? Sangat sedikit yang kita ketahui tentang alam itu. Firman Allah: “Jika kamu bertanya tentang roh, katakan yang roh itu urusan Tuhanmu. Dan tidaklah kamu mengetahui daripada ilmu Allah melainkan sedikit sekali.”
• Alam Roh
Tetapi apa yang pasti di alam itu manusia sangat rapat dengan Tuhan. Sehingga pengakuan ini dicatat dalam al-Quran:
“Tidakkah Aku ini Tuhanmu? Roh menjawab, ya kami menjadi saksi (kewujudan-Mu).”
Pada ketika itu, roh sangat kenal dan mengakui keesaan Allah sebagai Rabb (Penciptanya). Pada ketika itu juga roh berjanji untuk menjadi hamba Allah yang patuh. Perjanjian ini termeterai antara manusia dengan Allah sehingga dengan itu manusia telah sanggup untuk memikul amanah sebagai khalifah di muka bumi. Walaupun semua makhluk lain menolak amanah ini, manusia sebaliknya, telah menyatakan kesanggupannya.
Dan kesediaan ini menyebabkan manusia menjadi pelakar sejarah dalam kehidupan di muka bumi dan memberi impak yang besar kesannya kepada kehidupannya sendiri. Firman Allah: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya kerana bimbang tidak dapat menyempurnakannya dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” (Surah al-ahzab 33: 72).
Tidak diketahui berapa lama tempoh manusia berada di alam roh. Namun yang pastinya setiap manusia mengambil gilirannya untuk “diturunkan” ke alam dunia. Kita pun datang ke bumi generasi demi generasi. Sayangnya, pengakuan, perjanjian, kesanggupan dan segala yang berlaku di alam roh seolah-olah sudah dilupakan oleh manusia. Mengapa kita boleh lupa? Memang logik kita lupa kerana alam itu telah begitu lama kita tinggalkan. Sedangkan hal yang berlaku seminggu yang lalu pun kita boleh ‘terlupa’, inikan pula entah berapa ratus ribu tahun sudah kita membuat perjanjian itu?
• Alam Rahim
Sebelum dilahirkan ke alam dunia, manusia terlebih dahulu “transit” di alam rahim. Alam rahim terletak di dalam perut ibu. Indah sekali namanya; rahim (nama Allah Al-Rahim). Sekali gus melambangkan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya, yang hakikatnya berasal daripada kasih sayang Allah. Di sini janin dilindungi untuk menjadi seorang bayi.
Bayi akan tinggal di alam yang kukuh dan penuh kasih sayang ini selama lebih kurang 9 bulan 10 hari (mengikut kebiasaannya). Dalam tempoh yang itu ada beberapa proses biologi dan rohani yang berlaku. Daripada sari pati tanah, menjadi nutfah, kemudian menjadi alaqah dan diikuti pembentukan mudghah. Kemudian menjadi tulang dan selepas itu mula diliputi dengan daging, dan dibungkus dengan kulit. Akhirnya terbentuklah bayi yang lengkap sifatnya.
Di alam rahim ada beberapa perkara telah ditentukan. Antaranya rezeki, tempoh kehidupan, celaka atau bahagianya.
Hadis daripada Abdullah bin Mas’ud r.a dia berkata, Rasulullah s.a.w. seorang yang benar serta dipercayai pernah bersabda: “Kejadian seseorang itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama empat puluh hari. Sebaik sahaja genap empat puluh hari kali kedua terbentuklah segumpal darah beku. Manakala genap empat puluh hari kali ketiga bertukar menjadi seketul daging. Kemudian Allah s.w.t. mengutus malaikat untuk meniupkan roh serta memerintah supaya menulis empat perkara iaitu ditentukan rezeki, tempoh kematian, amalan serta nasibnya sama ada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan. Maha suci Allah s.w.t. di mana tiada tuhan selain-Nya, seandainya seseorang itu melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni syurga sehinggalah kehidupannya hanya tinggal sehasta dari tempoh kematiannya, tetapi disebabkan ketentuan takdir, nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni neraka sehingga dia memasukinya. Begitu juga dengan mereka yang melakukan amalan ahli neraka, tetapi disebabkan oleh ketentuan takdir nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni syurga sehinggalah dia memasukinya.”
Tegasnya, segala persediaan dan kelengkapan untuk menuju alam dunia telah dipersiapkan di sini. Jasadnya mula dilengkapi oleh komponen pancaindera (pendengaran, penglihatan, sentuhan, rasa dan lain-lain). Sepertimana penyelam yang perlu memakai pakaian khas untuk menyelam, lengkap dengan bekalan oksigennya, maka begitulah manusia yang berpindah ke alam dunia, pakaian khasnya ialah jasad dan kelengkapannya ialah pancaindera.
• Alam Dunia
Tiba masanya, butang hidup pun di“on”kan. Manusia pun lahir ke alam dunia dengan diiringi tangisan. Tangisan ini ada maknanya yang tersendiri. Dalam kalangan ahli kerohanian ada yang mentafsirkan tangisan ini sebagai tanda protes bayi tersebut terhadap syaitan yang sejak lahir sahaja manusia ke dunia sudah diajak kepada kejahatan. Begitulah erti tangisan itu.
Manakala ahli perubatan pula menjelaskan bahawa tangisan itu diperlukan untuk si bayi mula mengepam oksigen ke paru-parunya yang baru berfungsi.
Apa pun makna dan tafsirannya, hidup memang dimulakan dengan tangisan, dicelah-celah kehidupan ada tangisan dan diakhiri dengan tangisan. Tidak ada manusia yang lahir dengan ketawa!
Di alam dunia inilah bermulanya ujian kerana memang manusia hidup untuk diuji. Firman Allah yang bermaksud: “Dijadikan mati dan hidup bagi kamu untuk menguji siapakah antara kamu yang terbaik amalannya.”
Lazimnya hidup manusia ini sekitar 60 hingga 70 tahun, namun perlu diingat hidup di dunia inilah yang paling kritikal, kerana ia menentukan sama ada kita bahagia atau derita selama-lamanya. Dunia ini penuh dengan ujian. Dunia umpama “dewan peperiksaan”. Manusia mesti menjawab beberapa “soalan peperiksaan” yang sebenarnya telah pun “bocor”. Saya katakan demikian kerana soalan-soalan yang akan ditanyakan di alam kubur dan alam Mahsyar itu telah pun dimaklumkan kepada manusia di dunia lagi. Berikut adalah soalan-soalan itu:
Soalan di dalam kubur:
• Siapa Tuhan kamu?
• Siapa Imam kamu?
• Siapa saudara kamu?
• Apakah kiblat kamu?
Soalan di Alam Mahsyar:
• Ke mana hartamu kamu belanjakan?
• Ke mana ilmumu kamu gunakan?
• Ke mana umurmu kamu gunakan?
• Bagaimana umur muda kamu habiskan?
Namun, harus diingat soalan-soalan itu bukan dijawab secara lisan berdasarkan pemikiran. Tetapi perbuatan dan amalan kita di alam dunia itulah yang membantu memberi ‘jawapan’ kepada soalan-soalan itu. Jika kita melakukan sesuatu yang selaras dengan kehendak Allah, maka itu jawapan kepada soalan “Siapa Tuhan kamu?”. Jika kita benar-benar mengikut panduan sunnah Rasulullah, maka itulah jawapan kepada soalan “Siapa imam kamu?”
• Alam Barzakh (Alam Kubur)
Hidup di dunia akan berakhir melalui proses kematian. Jika kelahiran adalah proses yang membawa kita pindah dari alam rahim ke alam dunia, maka mati pula adalah proses yang membawa kita pindah dari alam dunia ke alam barzakh. Hakikatnya, kelahiran dan kematian adalah sama – satu proses yang mesti dilalui sebelum berpindah ke alam selepas dari alam sebelumnya. Sayangnya, ramai manusia yang hanya membuat persediaan untuk menghadapi kelahiran berbanding kematian. Kain lampin lebih popular daripada kain kapan!
Alam barzakh (ertinya pemisah) ialah sempadan antara dunia dan akhirat. Di sana manusia ibarat dalam tahanan reman, sementara menunggu saat perbicaraan. Tetapi di alam barzakh ini sudah ada petunjuk-petunjuk awal sama ada kembara seterusnya akan berjalan dengan baik atau sebaliknya. Di sini sudah mula soal siasat terhadap segala perlakuan di dunia. Dua malaikat, Munkar dan Nakir, sudah menjalankan tugas awalnya. Mukadimah nikmat (bagi yang soleh) dan mukadimah azab (bagi yang toleh) sudah ketara dan dirasai. Di sini manusia akan menunggu saat perbicaraan sama ada dalam keadaan selesa atau seksa. Perbicaraan dan keputusan muktamadnya adalah di Padang Mahsyar.
• Alam Mahsyar
Dua tiupan (bumi dilipatkan semula dengan sistem aturannya diterbalikkan. Dan berlakulah letupan kuat). Sangkakala dikumandangkan oleh Israfil – kali pertama untuk mematikan mereka yang masih hidup di saat itu dan kali kedua untuk menghidupkan semula semua yang sudah mati. Manusia pun dibangkitkan semula dari alam kubur menuju Mahsyar. Pelbagai rupa dan cara manusia ke sana ditentukan oleh amalan masing-masing. Visualnya, digambarkan dengan jelas dalam peristiwa Israk Mikraj.
Di sanalah keadilan yang mutlak dan muktamad ditegakkan. Jika di dunia yang benar tidak selalu dimenangkan, dan yang salah tidak selalu dikalahkan, tetapi di akhirat yang benar pasti menang, yang salah pasti kalah. Allah Maha Adil dalam menentukan sesuatu hukuman.
Walaupun Dia Hakim yang Maha Mengetahui, namun Dia masih mahu pengadilan itu dibuktikan oleh para saksi. Sedangkan apa perlunya saksi jika segala-galanya sudah diketahui? Ketika itu anggota badan kitalah yang menjadi saksi – segalanya dibenarkan bersuara malah mendakwa.
• Alam Syurga atau Neraka
Setelah menerima catatan amal (lengkap dengan fakta dan data yang terperinci), yang bukan hanya mencatat setiap langkahan kaki tetapi juga lintasan hati, maka “keputusan” peperiksaan itu melayakkan manusia ke alam syurga jika berjaya dan ke alam neraka jika gagal. Di sanalah kembara yang panjang itu berakhir. Ada yang “happy ending”. Ada pula yang berakhir dengan sengsara. Sampai bila? Sampai bila-bila. Tidak ada kembara lagi selepas itu! Itulah hidup yang hakiki dan di sanalah perhentian yang abadi.
Sehingga di sini istirahatkan minda anda kerana lelah juga menyusuri perjalanan hidup kita. Itu baru menerusi perantaraan minda atau pemikiran. Perjalanan sebenarnya tentu menuntut kelelahan yang berganda. Kembara ini penuh liku, cabaran dan kesusahan. Jika kembara di satu alam (dunia) ini pun kita boleh tersesat dan melarat, apatah lagi kembara yang melalui di lima alam yang serba unik itu.
Dan yang paling penting ialah bagaimana hendak menjalani kehidupan yang sebaik-baiknya di alam dunia – alam yang sedang kita hidup sekarang. Masa lalu tidak dapat diputar kembali. Kita tidak boleh merayu untuk tidak dijadikan, menerima amanah dan dihantar ke dunia.
Manakala masa depan, tidak boleh dijangkau. Apa yang penting ialah kita boleh menentukan masa depan (di Alam Barzakh, Mahsyar, Syurga atau Neraka) dengan bekerja kuat pada hari ini (di dunia) dengan input dan peringatan yang kita dapat daripada masa lampau (di alam roh). Insya-Allah.
Terima kasih Ustaz, semoga dihalalkan segala ilmu ini...
0 comments:
Post a Comment