Pages

Tuesday, 8 November 2011

Pengorbanan

Pengorbanan adalah terma yang luas maksudnya. Kalau kita renungkan perkataan itu ia membawa maksud yang subjektif. Pengorbanan yang macammana telah kita lakukan terhadap agama kita iaitu Islam. Islam itu indah. Dapat kah kita rasai keindahannya? Jika kita memahami Islam sambil lewa, kita tentu tidak akan tahu betapa indahnya Islam ini..pepatah ada mengatakan..tak kenal maka tak cinta...adakah kita betul-betul dah kenal Islam ini.....tepuk dada tanya Iman kita...
Sempena Raya Aidiladha ini.....bagi umat Islam yang tidak dijemput oleh Allah menunai fardhu Haji ke tanah suci, melakukan ibadah korban di tanahair sendiri. Pada waktu yang ditetapkan seluruh umat Islam menunjukkan kesediaan untuk mengorbankan apa sahaja. Berbagai-bagai pengorbanan perlu kita lakukan..antaranya ialah..pengorbanan harta,masa,tenaga, pangkat, kedudukan dan sebagainya melalui ibadah yang diamalkan pada Hari Raya Aidiladha.
Pada hari itu juga, pengorbanan kita terhadap wang ringgit bagi menyedekahkan haiwan korban kerana Allah. Selain itu, pengorbanan tenaga juga menjadi taruhan di mana aktiviti gotong royong dilakukan bagi menguruskan pengagihan daging korban. Kita juga dituntut mengenepikan soal pangkat, kedudukan, hidup bermasyarakat dalam mengekalkan keharmonian, semangat bekerjasama, senda gurau, kemesraan dalam ibadah, eratkan tali persaudaraan dan secara tidak langsung dapat melibatkan anak-anak kecil dan anak-anak muda untuk mengambil bahagian dalam masyarakat.
Semoga pengorbanan yang kita lakukan ini diredhai Allah dan mendapat keberkataNya dan dapatlah sama-sama kita mengambil pengajaran kisah di sebalik sejarah keimanan para Nabi dan melibatkan diri dengan nikmat hidup bermasyarakat.
Pengorbanan Siti Hajar
Mari kita sama-sama telusuri pengorbanan Siti Hajar yang kadangkala terlepas pandang di sebalik cerita kehebatan Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.
Siapa Siti Hajar? Apa kehebatannya? Siti Hajar bukan lah daripada kalangan bangsawan dan bukan juga daripada keluarga yang ternama lagi masyur, malahan beliau hanyalah seorang wanita hamba sebelum Nabi Ibrahim a.s memperisterikannya.
Siti Hajar seorang wanita luar biasa kerana beliau telah menempuh dengan pelbagai musibah yang besar dan dugaan-dugaan yang besar sehinggalah Allah s.w.t member penghormatan yang tinggi kepadanya sebagai peneroka bumi Makkah dan insan yang bertuah menemui telaga air zam-zam di mana ia merupakan sumber air yang terbaik di dunia.
Ya, memang sukar untuk kita temui manusia yang luar biasa seumpama Siti Hajar, dialah seorang wanita, istri dan ibu yang tinggi jiwa pengorbanannya.
Ada apa pada Siti Hajar? Tidak tahu di zaman ini ada lagi tak wanita setaat, setabah dan sesabar Siti Hajar. Ramai orang yang meneguk air zam-zam tetapi tiak meneguk Ibrah (pengajaran) daripada wanita yang mula-mula menyentuh air itu.
Menurut sejarah, beliau adalah biasa-biasa saja orangnya di mana beliau berkulit agak gelap, wajahnya tidak secantik madunya Siti Sarah dan beliau menjaga anak bernama Ismail. Siti Hajar diuji berbagai – bagai dimensi hinggakan beliau dikatakan mempunyai hati seperti emas , antara ujiannya seperti hidup bermadu, fizikalnya diuji ketika ditinggalkan di padang pasir dan akalnya pula diuji dengan ikhtiar tanpa bekalan, jiwanya juga diuji dengan tawakal, sabar serta bersangka baik kepada Allah s.w.t dan suami beliau. Sememangnya insan yang bernama Siti Hajar ini sungguh luar biasa orangnya.
Tatkala beliau ditinggalkan suami sedikitpun dia tidak menyimpan prasangka yang tidak baik pada suaminya, apatah lagi bersangka buruk kepada Allah. Persoalan kenapa dia ditinggalkan dan dibiarkan sedikit pun tidak menggoyahkan ketaatan Siti Hajar terhadap suaminya. Ini kerana dalam diri Siti Hajar tertegak satu benteng ketaatan kepada Allah s.w.t dan beliau membina ketaatan yang tinggi kepada suaminya Nabi Ibrahim a.s.
Hanya kepada Allah sahaja beliau menyerah dirinya dan anaknya Ismail dan seluruh penggantungan hanyalah kepada Allah semata-mata, tatkala beliau ditinggalkan suaminya. Beliau ikhlas dan redha menyerahkan segala-galanya kepada Allah s.w.t untuk memutuskan apa yang terbaik buat diri dan bayinya ketika itu.
Dengan keyakinan yang ada pada Siti Hajar bahawa Allah s.w.t pasti tidak akan mensia-siakan dirinya, beliau sanggup harungi setelah ditinggalkan oleh suaminya untuk membina kehidupan sendiri di bumi Makkah yang kosong dan tandus...cubalah kita bayangkan...
“Barangsiapa menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia berpegang kepada tali yang kuku, dan hanya kepada Allahlah kesudahan segala sesuatu” (Surah Luqman ayat22).
Siti Hajar memiliki ciri-ciri yang luar biasa itu adalah hasil didikan suaminya, jiwanya telah disibukkan dengan keinginan melaksanakan perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala larangan-Nya. Beliau juga sentiasa memandang positif segala ketentuan Allah dan ketulusan jiwa itu telah membuatkan Siti Hajar diangkat tinggi oleh Allah s.w.t. walaupun beliau lahir sebagai seorang wanita hamba.
Buat yang bakal bergelar isteri dan ibu, jadikalah Siti Hajar sebagai contoh teladan. Kuatkanlah pergantungan kepada Allah dan percaya serta yakinlah pasti ada kemanisan di sebalik kepahitan takdirNya. Itulah punca dan sumber kekuatan utama.

0 comments:

Post a Comment